suria

Mahasiswa UM Protes Pemecatan Pengarah UMCedel

Sebahagian mahasiswa UM yang mengadakan protes aman berikutan pemecatan Pengarah UMcedel. -fotoNORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengadakan protes berikutan pemecatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, baru-baru ini.

Tindakan terhadap Mohammad Redzuan yang juga Pengarah Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya atau Umcedel itu dikatakan mempunyai kaitan dengan hasil kajiannya yang tidak memihak kepada kerajaan.

Tidak berpuas hati dengan nasib yang menimpa Muhammad Redzuan yang didakwa dipaksa meletak jawatan, penuntut universiti itu berarak secara aman ke Bangunan Canselori untuk menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor UM, Prof Dr Mohd Amin Jalaluddin.

Bagaimanapun kumpulan berkenaan gagal berbuat demikian kerana Mohd Amin dimaklumkan menghadiri mesyuarat penting.

Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol yang mengetuai demonstrasi aman itu berkata, pihaknya tetap akan mencari ruang bagi menyerahkan memorandum itu kepada Mohd Amin.

"Kami tidak serahkan memorandum itu kepada wakilnya kerana mahu berjumpa Dr Mohd Amin sendiri," katanya ketika ditemui di perkarangan bangunan Canselori.

Menerusi demonstrasi aman itu juga, Fahmi bersama seorang lagi rakannya melakukan simbolik bantahan dan solariditi kepada Mohammad Redzuan dengan memotong rambut.

Fahmi melakukan simbolik bantahan dengan merelakan rambutnya dipotong. -foto NORAFIFI EHSAN

Insiden pemecatan Mohammad Redzuan yang berlaku akhir bulan lalu itu turut mendorong bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saiffuddin Abdullah turut meletakkan jawatan dengan segera sebagai Felo Penyelidik Kanan di UM.

Sebelum ini, UM mengeluarkan kenyataan menafikan tempoh perkhidmatan Muhammad Redzuan tidak dilanjutkan kerana campur tangan politik, sebaliknya memaklumkan ia proses biasa.

Artikel Lain