suria

Tiada Jangkitan Baharu JE - Dr Lailanor

Pegawai Veterinar Pulau Pinang, Dr Nabilah Abdul Talib mengambil sampel darah babi di salah satu ladang ternakan haiwan itu.
TASEK GELUGOR: Tiada kes baharu virus Ensefalitis Jepun (JE) dikesan di Kampung Selamat di sini selepas seorang kanak-kanak lelaki di kampung berkenaan disyaki dijangkiti virus itu, kata Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang dan Jabatan Kesihatan negeri telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di kawasan itu.

"Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Veterinar bekerjasama rapat untuk memantau dan melakukan usaha pencegahan di kawasan terlibat antaranya memberikan pendidikan kesihatan kepada penduduk dan pengesanan kes aktif secara berterusan.

"Orang ramai juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan jika ada simptom demam, sakit kepala, loya dan muntah yang berlarutan, saya menyarankan agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Semalam, media melaporkan seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di sini koma disyaki dijangkiti virus JE dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru dekat sini.

Dr Lailanor berkata, pihaknya belum mendapat laporan penuh berhubung keadaan pesakit itu daripada hospital itu.

"Hari ini pegawai saya akan mendapatkan laporan lengkap perubatan pesakit itu daripasda hospital swasta berkenaan dan jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan bermesyuarat bagi membolehkan keputusan mengenainya dibuat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia menerima murid tahun enam itu untuk dirawat di hospital kerajaan jika anggota keluarganya mahu memindahkan pesakit berkenaan.

"Tiada masalah jika keluarganya mahu memindahkan pesakit itu untuk menerima rawatan di hospital kerajaan dan saya bersedia menguruskanya serta berjanji memberikan rawatan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Jabatan Veterinar Pulau Pinang, Dr Nabilah Abdul Talib berkata, pasukan veterinar yang dibantu Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini mengambil sampel darah daripada populasi babi di sekitar kawasan Kampung Selamat.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil sampel darah babi daripada 20 ladang babi di kawasaan berkenaan bagi menjalankan ujian sama ada ia positif atau negatif JE.

"Sampel darah itu kami ambil dari ladang yang satu kilometer radius dari sekolah itu bagi mengetahui dengan lebih jelas sekiranya terdapat jangkitan JE.

"Keputusan sama ada positif atau sebaliknya akan diketahui Jumaat ini selepas ujian berkenaan dilakukan di Jabatan Veterinar Perak di Ipoh," katanya kepada pemberita selepas mengambil sampel darah babi di Kampung Selamat, di sini.


JE, Kampung Selamat, koma

Artikel Sebelum

Artikel Lain