suria

17 Kes Diskriminasi Terhadap Pesakit HIV/AIDS Dikesan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kes diskriminasi dan penafian hak asasi terhadap individu dijangkiti HIV dan AIDS telah dilaporkan dalam 'HIV and Human Rights Mitigation Report 2013' di negara ini.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Datuk Dr Raj Karim berkata ini membuktikan masih wujud sikap diskriminasi terhadap golongan berkenaan dalam negara ini.

Beliau berkata laporan itu, yang mengandungi kes-kes yang telah direkodkan daripada pelbagai sudut penafian hak asasi dan diskriminasi seperti peluang pendidikan, rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan terhadap golongan dijangkiti HIV dan AIDS itu, dihasilkan dengan kerjasama 'European Asia Action'.

"Antara kes diskriminasi...berkaitan peluang pendidikan ialah kes melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak diberi sijil diploma setelah lulus dalam peperiksaan daripada IPT berkenaan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran kempen 'Bantu, Jangan Menghukum' dan 'HIV and Human Rights Mitigation Report 2013' di sini, Khamis.

Majlis anjuran MAM itu sempena tarikh memperingati Hari Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

"Hal ini jelas menunjukkan diskriminasi dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar yang dijangkiti HIV dan AIDS di negara ini juga tetap berlaku," katanya. 

Dr Raj berkata golongan itu juga tidak wajar dipinggirkan dan dinafikan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan seperti rawatan kesihatan, pendidikan mahupun sokongan komuniti dalam kehidupan.

"Dengan adanya stigma dan sikap diskriminasi dalam masyarakat terhadap golongan ini, peningkatan jangkitan HIV dan AIDS tidak dapat dikurangkan sedikit pun. 

"Oleh itu, saya mohon agar semua pihak menghentikan sikap demikian, dan lebih memainkan peranan membantu serta menyokong mereka melalui penyediaan kesihatan awam dan hak asasi manusia, seperti membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang layak," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain