suria

Jerebu Rentas Sempadan Dijangka Berterusan Hingga September

Datuk Seri G.Palanivel

KUALA LUMPUR: Pencemaran jerebu merentas sempadan yang melanda negara ketika ini berikutan musim Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata lingkaran asap jerebu sederhana daripada kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia, dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ini ditunjukkan oleh peta jerebu serantau dan peta imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 18 yang dikeluarkan semalam oleh Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura.

"Pihak ASMC juga melaporkan 116 titik panas (hotspots) dikesan melalui imej satelit NOAA 18 di Sumatera pada 22 Jun," kata Palanivel dalam kenyataan Isnin.

Selain itu, 11 titik panas dikesan dalam negara iaitu empat di Sabah, Selangor (3), Negeri Sembilan (2) serta masing-masing satu di Melaka dan
Pahang.

Palanivel menjelaskan dalam keadaan cuaca panas dan kering serta keadaan atmosfera yang statik (tenang), habuk-habuk terampai yang dibawa merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan kekal berkumpul atau terperangkap dalam ruang udara dan menyebabkan keadaan sedikit berjerebu. 

Bagi menangani musim panas dan kering Monsun Barat Daya serta impak fenomena El-Nino, kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil beberapa langkah awal termasuk mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka di seluruh negara mulai Februari lepas.

"Selain itu, Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar juga diaktifkan selain mengeluarkan perintah larangan pembakaran terbuka sejak Mac lalu sehingga sekarang bagi seluruh Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Seramai 194 pegawai JAS turut diberi surat kuasa khas untuk menangkap penjenayah alam sekitar yang disyaki tanpa waran mengikut peruntukan Seksyen 37 C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012.

Palanivel berkata berdasarkan siasatan JAS, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 3,936 kes pembakaran dikesan dengan 1,257 membabitkan kawasan
pertanian, kawasan belukar (913 kes), kawasan hutan (833 kes), pembakaran terbuka kecil (716 kes), kawasan pembinaan (117 kes), tapak pelupusan sampah (69
kes) dan kawasan industri (31 kes).

"Bagi tempoh sama, 276 kes pembakaran terbuka telah dikenakan kompaun dan 87 kes telah dikeluarkan notis amaran," katanya.

Sebanyak 43 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka juga dibuka bagi tindakan pendakwaan di mahkamah.
jerebu, Palanivel

Artikel Lain