suria

Kenaikan Cukai Taksiran DBKL Dihadkan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan kenaikan kadar baharu cukai taksiran DBKL yang dihadkan kepada hanya 10 peratus bagi unit kediaman dan 25 peratus bagi premis komersial, Selasa.
KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar baharu cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dihadkan kepada hanya 10 peratus bagi unit kediaman dan 25 peratus bagi premis komersial.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut merupakan hasil penilaian semula ke atas pegangan unit hartanah di ibu kota yang dilaksana DBKL sejak tahun lepas. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi 'Town Hall' mengenai Penilaian Semula Hartanah di Kuala Lumpur di sini, Selasa. 

Beliau berkata, keputusan mengehadkan kadar cukai taksiran bagi 2014 dibuat selepas dipersetujui oleh kabinet pada mesyuarat dua minggu lepas. 

"Kita mungkin menimbangkan untuk melanjutkan kadar ini untuk tahun depan namun jika ada peningkatan atau penurunan peratusan ia bergantung kepada keadaan semasa dan keupayaan rakyat untuk membayar," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan turut mengumumkan sejumlah 57,978 unit rumah kediaman kos rendah dan sederhana sekitar bandar raya Kuala Lumpur kini menikmati pengurangan cukai taksiran dua hingga empat peratus berbanding tahun lepas.

"Pada keseluruhannya sejumlah 166,890 atau 34 peratus unit harta yang sebahagian besarnya kediaman mengalami pengurangan cukai taksiran dibayar, 16,461 atau tiga peratus unit kediaman yang terdiri daripada kediaman kos rendah dan sederhana rendah tiada kenaikan," katanya. 

Beliau berkata dalam masa sama kabinet turut bersetuju untuk memperkenalkan insentif baharu berbentuk pengurangan 10 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar kepada golongan orang kurang upaya (OKU), pesara dan pemilik yang menduduki kediaman mereka sendiri.

"Sehingga tarikh akhir permohonan iaitu pada 31 Mac 2014, sejumlah 17,444 permohonan daripada tiga golongan ini telah diterima dan mana-mana yang masih belum membuat permohonan untuk mendapatkan rebat ini dinasihatkan agar menghubungi DBKL segera," katanya.

Pada 1 Oktober tahun lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengumumkan bahawa DBKL melaksanakan proses penilaian semula cukai taksiran selepas 21 tahun tidak berbuat demikian walaupun nilai hartanah sudah meningkat.

Kali terakhir dilaksana ialah pada 1992.
DBKL, cukai taksiran

Artikel Lain