suria

Kumpulan Penculik Di Pantai Timur Sabah Ada Maklumat Dalaman

LAHAD DATU: Kumpulan penculik di pantai timur Sabah dikatakan mempunyai maklumat daripada sumber dalaman mengenai kawalan keselamatan bagi melancarkan kegiatan mereka di kawasan berkenaan.

"Mereka mempunyai maklumat ketenteraan yang lebih baik daripada kita. Kita tahu di mana aset kita berada. Mereka sudah mempunyai 'sumber dalaman' di Sabah. Kita percaya mereka mempunyai orang dalam untuk membantu."
  

Ia merupakan kenyataan seorang pakar keselamatan yang berpangkalan di pantai timur Sabah yang merujuk kepada kumpulan penculik yang akan menculik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) yang telah menculik enam orang.

Seorang penternak ikan rakyat Malaysia, dua warga China, seorang pelancong Taiwan dan dua pekerja warga Filipina telah diculik dari dua resort di perairan Semporna dan kolam ternakan ikan di Kunak dan Lahad Datu sejak tujuh bulan lalu.

Dalam satu siasatan yang dilakukan oleh The Star mengenai penculikan rentas sempadan, pakar tersebut berkata, terdapat "musuh-musuh" di Sabah yang membantu kumpulan penculik.

Pakar itu yang enggan dikenali berkata, malah kumpulan penculik itu mengetahui pergerakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berperanan mengawal keselamatan di perairan. 

Beliau yang merujuk kepada kes penculikan di resort Singamata, berkata kumpulan itu mengetahui bot peronda APMM tiba di resort berkenaan yang terletak di kawasan terumbu karang pada kira-kira pukul 9 malam dan meninggalkan kawasan itu sejam kemudian untuk meronda di resort lain di perairan Semporna.

"Kumpulan itu melakukan penculikan hanya beberapa minit selepas bot rondaan meninggalkan kawasan itu. Bagaimana mereka tahu waktu yang tepat untuk mereka melakukan kegiatan itu?" soalnya.

Artikel Lain