MH370: Pampasan Akhir Selepas Isu Selesai - Semasa | mStar

MH370: Pampasan Akhir Selepas Isu Selesai

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menyelesaikan isu pampasan bagi keluarga anak kapal dan penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370, namun keutamaan diberikan kepada usaha mencari pesawat yang masih hilang itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata pampasan akhir akan diberikan selepas isu berkaitan pesawat selesai.

"MAS dan kerajaan telah membuat ketetapan untuk memberi US$50,000 sebagai bantuan permulaan. Sehingga ada keputusan muktamad dan pesawat ditemui, barulah ada perkiraan akhir," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu status terkini pembelaan terhadap waris mereka yang berada dalam pesawat.

Aziz menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab dan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu pampasan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dengan segera.

Tujuh waris penumpang pesawat dilaporkan telah menerima bayaran pendahuluan pampasan US$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.

Pada 8 Mac lalu, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam menuju Beijing.

Usaha mencari pesawat dilakukan di selatan Lautan Hindi.


MH370 , MAS

Artikel Sebelum

Tiada PRK Di DUN Bukit Assek - SPR

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel