suria

Kerajaan Masih Belum Kenal Pasti Lokasi Sebenar MH370

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menjalankan perbincangan dengan pihak berkuasa Australia dan China bagi mengenal pasti lokasi baharu di laut Hindi untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan itu juga meliputi fasa baharu dan penggunaan aset bersesuaian bagi operasi mencari pesawat itu.

"Itu amat penting dalam fasa baharu ini, kerana tanpa mengetahui atau memutuskan lokasi kawasan itu, adalah amat sukar untuk it's very difficult for us to understand what sort equipment there is needed which have specific capabilities for the search mission," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) 2014 dan melancarkan buku bertajuk 'Perancangan Ketenteraan Dalam As-Sunnah' di sini, Isnin.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan ke Beijing, China telah hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Hishammuddin juga sekali lagi menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung laporan yang mendakwa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Jangan percayakan spekulasi, pada asasnya ini tidak adil kepada keluarga juruterbang, ini tentang keluarga dan beliau mempunyai anak dan sekiranya anda salah bagaimana anda mahu membaiki kerosakan yang telah ditimbulkan itu," katanya.

Baru-baru ini, Akhbar Sunday Times, United Kingdom melaporkan polis Malaysia kini menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Artikel Lain