suria

Demonstrasi Isu Lesen MPOB Tidak Wakili Majoriti Peneroka Felda

Demonstrasi oleh sebilangan peneroka Felda di bangunan Parlimen, Rabu.
KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan peneroka yang berdemonstrasi berkenaan lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangunan Parlimen semalam, bukan mewakili kehendak majoriti peneroka di Malaysia.

Perjuangan mereka yang mahu mendapatkan lesen MPOB bagi menjual hasil tanaman kepada pihak ketiga selain Felda, juga dilihat bertentangan dengan apa yang dipersetujui antara peneroka dan Felda sebelum ini.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman berkata walaupun ada dakwaan mengatakan kilang luar selain Felda membeli hasil sawit dengan harga yang lebih tinggi, namun peneroka harus sedar bahawa setiap keuntungan yang diraih Felda akan dikembalikan kepada peneroka sendiri dalam bentuk insentif, dividen saham dan pinjaman rumah.

"Hari ini peneroka beri sokongan padu dan kuat kepada kerajaan. Sebab itu dia (pihak terbabit) cuba kacau masyarakat peneroka ini, supaya tidak lagi dalam keadaan aman dan damai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan ketua-ketua peneroka di Bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Sementara itu Razali berkata, walaupun ada peneroka yang sudah pun mempunyai hak milik ke atas tanah itu, namun itu tidak bermakna dia boleh berbuat sesuka hati kerana tertakluk di bawah Surat Perjanjian dengan Felda.

Razali, yang juga anggota Parlimen Muar berkata, perjanjian yang dimeterai itu termasuk larangan menjual tanah, mencagar, menukar hak milik, serta menjual hasil sawit kepada pihak ketiga selain Felda.

"Bila dia kata hak milik dia...itu saya setuju, tapi hak milik tak bermakna dia boleh buat sesuka hati kerana kita ada Perjanjian di bawah Akta Kumpulan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

"Namun, kalau jual dengan Felda, akhirnya untung Felda dia akan dapat balik. Kenapa dia tak cerita mengenai segala insentif dan kebaikan yang dia dapat balik hasil keuntungan dan kejayaan pengendalian urusan sawit oleh Felda," katanya.

Walaupun Felda sebenarnya boleh mengambil tindakan, termasuk menggugurkan status peneroka sekiranya terbukti mereka sengaja melanggar perjanjian yang dimeterai, Razali menegaskan, itu bukan soalnya kerana Felda lebih ke arah memperbaiki dan menjaga kebajikan dan gaya hidup masyarakat luar bandar.

Semalam, sekumpulan 200 peneroka mengadakan demonstrasi di pintu masuk Parlimen bagi mendesak kerajaan agar memastikan mereka diberi lesen MPOB bagi menjual hasil sawit kepada pihak ketiga.

Empat anggota Parlimen Pakatan iaitu S. Sivarasa (PKR-Subang), Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Star), Sim Tse Tzin (PKR-Bayan Baru) dan N. Surendran (PKR-Padang Serai) cuba membawa petisyen berhubung perkara itu ke dalam Dewan Rakyat namun ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas sebab teknikal.

Sementara itu, anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, yang juga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Felda Global Ventures (FGV)
Holdings Berhad pula berkata, golongan yang membuat demonstrasi itu harus bersikap adil dan perlu memikirkan kepentingan peneroka lain juga.

"Saya cukup kesal sebab orang Felda selama ini cukup bermuafakat. Kenapa sebab kepentingan politik dan mementingkan diri sendiri, cuba nak pecah belahkan masyarakat ini?

"Golongan minoriti ini mendakwa Felda menindas mereka. Sekiranya mangsa penindasan Felda ini telah menerima segala macam insentif seperti saham FGV, bonus pendapatan, pinjaman pendidikan untuk anak-anak, dan sebagainya, maka saya juga ingin jadi mangsa penindasan Felda," katanya sinis.

MPOB, Felda, Shamsuddin Othman

Artikel Lain