suria

Polis Padang Besar Temui Semula Treler Yang Dicuri

PADANG BESAR: Polis Daerah Padang Besar menemui semula sebuah treler pengangkut simen bernilai RM80,000 di kampung Nathawee, Songkhla, selatan Thailand, selepas dilaporkan hilang di Bukit Keteri dekat sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata, treler itu dilarikan ke kampung terbabit pada jarak kira-kira 51.1 kilometer dari sini dan kemudian dicat semula daripada warna merah kepada warna putih, sementara nombor pendaftarannya dibuang dengan tambahan aksesori bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Khamis, beliau berkata polis Padang Besar menerima laporan kehilangan treler itu dari tempat letak kereta kilang simen Bukit Keteri kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, pengadu membuat laporan polis bahawa kenderaan itu diletakkan di situ 14 Jun lalu ntuk menunggu giliran mengisi simen dari kilang berkenaan ke dalam treler itu yang dijadual pada 19 Jun, tetapi kemudiannya menyedari kehilangan treler pada 16 Jun.

"Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati treler itu dipandu melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar pada jam 6.29 pagi, 16 Jun 2014 berdasarkan rakaman CCTV di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ)
Padang Besar," katanya.

Beliau berkata, ekoran itu, polis Padang Besar menghubungi polis Thailand bagi mendapatkan bantuan mengesan treler terbabit sebelum mengesannya di Kampung Nathawee, selatan Thailand lalu dibawa ke Balai Polis Nathawee sebelum diserah kepada pihak polis Padang Besar, kelmarin.

Menurut Che Man, ini adalah kes curi treler pertama dikendalikan polis Padang Besar dan beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan anggota sindiket yang berpengalaman melarikan treler dan mengubah suainya tidak sampai 24 jam selepas dicuri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis belum dapat mengesahkan sama ada penjenayah terbabit warga tempatan atau Thailand dan siasatan masih diteruskan dengan kerjasama polis Thailand bagi mengesan penjenayah terbabit.

Dalam perkembangan lain, Che Man berkata, polis Padang Besar merampas 190 kilogram daun ketum dan 52.5 liter air ketum yang kesemuanya bernilai RM3,000 selepas menahan tiga suspek dalam beberapa serbuan di sekitar Padang Besar, 17 Jun lalu.

Katanya tiga suspek warga Thailand yang ditahan itu berumur antara 23 hingga 57 tahun yang dipercayai cuba menyeludup daun dan air ketum itu ke Thailand.
Padang Besar, treler curi

Artikel Lain