suria

PAC Kesal Kementerian Salahkan JKR

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kesal dengan sikap beberapa kementerian yang sentiasa menunding jari kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung masalah kelewatan atau pertambahan kos projek kerajaan.


Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kementerian berkenaan tidak seharusnya 'lepas tangan' kepada JKR semata-mata hingga mengakibatkan sesuatu projek tergendala dan merugikan kerajaan.

"Kami di peringkat PAC mual dengar alasan yang diberikan setiap kali timbul masalah pembinaan...semuanya JKR yang salah kerana mereka merupakan agensi pelaksana.

"Kementerian adalah pelanggan kepada JKR dan setiap kementerian mempunyai pegawai pemantau terhadap projek berkaitan mereka sebagai pengguna akhir," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin yang mendedahkan pelbagai masalah termasuk peningkatan kos pembinaan projek kerajaan.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Nur Jazlan berkata, JKR terikat dengan pelbagai keperluan pembinaan pihak kementerian, termasuk jika berlakunya pertambahan kos.

Merujuk kepada peningkatan kos pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini yang melebihi peruntukan asalnya RM6 juta, Nur Jazlan berkata, pembinaannya tidak mengikut cadangan asal.

"Pada awalnya balai polis itu dibina dengan konsep mesra rakyat, jadi tak ada pagar.

"Tapi selepas projek itu siap, polis memohon peruntukan tambahan untuk membina pagar dengan alasan balai polis itu dilengkapi dengan senjata api dan pelbagai alatan lain," katanya.


JKR, PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Lain