suria

Laporan Audit: 21 Penjawat Awam Disiasat - KSN

KUALA LUMPUR: Pelbagai teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2013 yang dibentangkan pada Isnin mendapat maklum balas pantas apabila 21 penjawat awam disiasat untuk dikenakan tindakan tatatertib.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, sebagai langkah proaktif, 11 Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat teguran dalam laporan itu sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Sehingga 16 Jun 2014, berdasarkan hasil siasatan awal, sebanyak 10 teguran disyorkan untuk diambil tindakan tatatertib melibatkan 21 pegawai.

"Selain itu, 15 teguran didapati tiada unsur melibatkan penyelewenagn, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas, sebaliknya memerlukan penambahbaikan prosedur dan peraturan semasa," katanya ketika membentangkan tindakan susulan laporan itu pada sesi taklimatnya di Institut Integriti Malaysia di sini, Selasa.

Sesi pertama kali diadakan ini melibatkan ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan agensi kerajaan yang menjawab secara langsung isu berbangkit berkaitan laporan yang dibentangkan Isnin.

Menurut Ali, walaupun laporan melibatkan salah laku, kelemahan dan penyelewengan penjawat awam dilihat sering berulang, namun ia menunjukkan 'trend' pengurangan berbanding laporan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, penjawat awam sering dinasihatkan supaya mengambil iktibar daripada syor, teguran dan kelemahan yang ditunjukkan dalam laporan audit.

"Jika teguran meningkat, ia merisaukan kita. Yang penting ia semakin berkurangan.

"Tetapi kita memang mahu cepatkan lagi kadar penurunan sama ada dari segi salah laku atau teguran terhadap penjawat awam," katanya sambil mengakui kakitangan awam dan agensi kerajaan sering menjadi tumpuan setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan.

Ali berkata, sebanyak 94 teguran bersifat punitif dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 (Siri 1 dan 2), tetapi menurun kepada 80 teguran bagi laporan pada 2013 (Siri 1 dan 2).

Bagi teguran bersifat pembetulan, beliau berkata, secara umum ia telah dan sedang diambil tindakan.

Dalam laporan terkini ini, sebanyak 230 syor dikemukakan bagi membantu kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Laporan Siri 1 tahun ini dibentangkan di Parlimen pada 7 April lepas.


Artikel Lain