suria

Kurang Kesedaran Rakyat Punca Usaha Perangi Denggi Tak Berkesan

Nyamuk Aedes yang membawa penyakit denggi boleh membawa maut.
MELAKA: Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi memerangi denggi dilihat tidak berkesan kerana kurangnya kesedaran rakyat terhadap penyakit yang boleh membawa maut itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, kes demam dan kematian akibat denggi meningkat lebih dua kali ganda antara Januari hingga 7 Jun tahun ini iaitu 38,411 kes dengan 75 kematian berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 10,910 kes dengan 22 kematian.

Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan kerajaan tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya mentaliti rakyat terhadap penyakit itu masih di takuk lama dan ia perlu diubah bagi memastikan penyakit denggi tidak 'diwariskan' kepada generasi akan datang.

"Kerajaan telah melakukan segalanya untuk hapuskan denggi tetapi mentaliti seperti denggi ada di kawasan saya kerana kerajaan tidak buat semburan perlu dikikis kerana semburan itu bukan penyelesaian mutlak masalah denggi.

"Sebaliknya kesedaran rakyat untuk mengambil masa selama 10 minit setiap hari dalam hidup mereka untuk memeriksa jika ada tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman mereka memberikan kesan yang jauh lebih baik berbanding kaedah semburan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini, Ahad.

Terdahulu, Dr Subramaniam merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi Asean 2014 Peringkat Kebangsaan di dataran Muzium Maritim, Bandar Hilir di sini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat tentang bahaya penyakit tersebut.

Ditanya adakah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang antara lain memperuntukkan kompaun sehingga RM500 atau penjara perlu dipinda bagimemberikan hukuman lebih berat bagi mengekang penyakit itu, beliau berkata penguatkuasaan dan hukuman bukanlah penyelesaian utama bagi masalah tersebut.

"Meningkatkan kesedaran mengenai bahaya denggi dalam kalangan rakyat itu adalah penyelesaian utama bagi masalah peningkatan kes denggi di negara ini, rakyat tahu denggi bahaya, itu tidak cukup...perlu budaya hapuskan denggi dalam hidup kita," katanya.

Dr Subramaniam turut meminta penyelidik dalam dan luar negara meningkatkan penyelidikan terhadap cara mengatasi penyakit denggi yang kebanyakannya melanda kawasan iklim tropika dan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Katanya, pertukaran cuaca antara kering ke basah atau sebaliknya akan meningkatkan kadar pembiakan nyamuk aedes dan meminta rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti membersihkan kawasan air bertakung bagi mengekang penyakit itu daripada terus menjadi ancaman.


Menteri Kesihatan, demam denggi

Artikel Lain