suria

Dua Larikan Wang, Rokok Dari Stesen Minyak

KULIM: Dua perompak yang memakai topi keledar muka penuh bersenjata sebilah parang melarikan wang tunai serta rokok bernilai RM1,260 dari sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Awi di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintenden Chin Su Song berkata terdapat tiga pekerja wanita dalam stesen minyak itu ketika dua lelaki datang dan berpura-pura hendak membeli air pada 1.45 tengah hari.
 
"Ketika membawa botol air ke kaunter yang ketika itu hanya ada seorang pekerja wanita, seorang perompak mengeluarkan sebilah parang lalu mengacu ke arah penjaga kaunter dan meminta wang secara paksa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata akibat ketakutan, pekerja itu menyerahkan wang tunai yang terdapat dalam mesin berjumlah kira-kira RM1,200.

Suspek turut mencuri enam kotak rokok yang terdapat bersebelahan kaunter sebelum memboloskan diri dengan sebuah motosikal.

Chin berkata polis kini memburu suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim Inspektor K.Vasu di talian 04-4906 222
rompak, stesen minyak

Artikel Lain