suria

Mesir Sedia Terima Pelancong Selepas Terjejas Oleh Revolusi

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan Mesir bakal muncul kembali sebagai destinasi pelancongan popular selepas sektor itu terjejas teruk oleh revolusi di negara itu.

Duta Mesir di Malaysia, Salah Elwassimy berkata, sektor pelancongan negara itu kembali mencatatkan pertumbuhan baik, dan keselamatan pelancong adalah terjamin.

"Sebagai wakil kerajaan Mesir, saya ingin menyatakan bahawa keadaan sudah kembali aman dan dengan keadaan terbaru ini, kami mempelawa anda untuk melawat Bumi Firaun.

"Keadaan di Mesir semakin pulih dan kami menghulurkan salam persahabatan kepada seluruh dunia amnya dan rakyat Malaysia khususnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Rangkaian Pelancongan Mesir di sini malam Rabu.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Pelancongan Mesir Dr Adel El Masry, Pengerusi Tourism Malaysia Tan Sri Dr Ng Yen Yen, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Hamzah Rahmat dan Pengurus Kawasan EgyptAir  Maher El Alfy.

Mesir mengalami dua revolusi bersejarah dalam tempoh tga tahun yang membawa kepada ketidakstabilan politik dan masalah keselamatan yang telah menyebabkan sektor pelancongannya terjejas teruk.

Sementara itu, mengulas tentang keselamatan lebih 11,000 pelajar Malaysia di Mesir, Salah berkata keadaan kini stabil dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Keadaan adalah selamat, terjamin dan stabil dan saya beri jaminan bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan. Malah kami menjangkakan lebih banyak pelajar

akan melanjutkan pelajaran di Mesir," katanya.
mesir, Salah Elwassimy

Artikel Lain