suria

El-Nino: Selangor Tak Cadang Laksana Semula Catuan Air

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak bercadang melaksanakan semula pelan catuan air di negeri itu walaupun berkemungkinan menghadapi musim kering akibat fenomena El-Nino sekarang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Beliau berkata pihaknya telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan bekalan air mentah di kesemua empangan utama mencukupi sepanjang musim kering yang dijangka berlarutan selama tiga bulan akan datang. 

"Kita diberitahu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Perancang Ekonomi Selangor bahawa kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor diteruskan untuk mengatasi masalah kekurangan air," katanya. 

Abdul Khalid bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini Rabu. 

Beliau berkata terdapat 20 pam di sembilan buah kolam bekas lombong yang mampu mengepam jumlah air mentah sebanyak 800 juta liter sehari (JLH) untuk menampung pengeluaran air mentah dari Sungai Tinggi dan Sungai Selangor. 

"Dengan perancangan ini, pengeluaran air mentah dari Sungai Selangor dapat diminimumkan bagi membolehkan bekalan air terawat di Loji Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 disalurkan seperti biasa," katanya. 

Abdul Khalid berkata sehingga kini, pihaknya menjalankan 37 operasi pembenihan awan sepanjang musim kering ini.

Usaha ini melibatkan kepakaran wakil 'Bureau of Royal Rainmaking And Agricultural Aviation of Thailand' untuk meningkatkan jumlah kapasiti air di kesemua empangan. 

Katanya, walaupun kadar hujan yang diterima di kawasan empangan adalah sedikit, namun menerusi kerjasama biro tersebut, ia telah meningkatkan keberkesanan kadar hujan diterima. 

Abdul Khalid juga berkata pensampelan kualiti air kolam-kolam bekas lombong akan diteruskan dengan lebih kerap bagi memastikan air mentah mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

Pensampelan terakhir dibuat pada 20 Mei lepas mendapati air kolam tersebut mengikut piawaian ditetapkan. 

Katanya, LUAS akan mengadakan seminar Rabu depan (18 Jun) untuk memberi pemahaman dan maklumat kepada pihak yang berkepentingan mengenai status semasa kolam-kolam sumber air Selangor termasuk kualiti dan kuantitinya serta proses penjagaannya. 

El-Nino, catuan, SElangor

Artikel Lain