suria

Tak Mogok Lagi - Presiden Bestari

Pemandu-pemandu melakukan mogok bantahan di Bukit Bintang Rabu lalu.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Pemandu Teksi Bukit Bintang (Bestari), Mohd Asharaf Yasin memberi jaminan pihaknya tidak akan mengadakan mogok, selepas mengadakan pertemuan dengan pihak polis pada Ahad.

Beliau berkata, pertemuan dengan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi meredakan keadaan.

"Polis Dang Wangi memanggil kami untuk berbincang masalah kami dan mereka berjanji akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Perdana Menteri," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Lega dengan perbincangan tersebut, Mohd Asharaf mengakui ahli persatuan itu bukan sengaja mahu membuat mogok di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Bintang, Rabu lalu.

Kumpulan ini juga dikatakan akan mengadakan mogok hari ini (Isnin) bagaimanapun membatalkan hasrat itu selepas berbincang dengan pihak polis.

"Kami sebenarnya malu berbuat demikian (mogok), tetapi itu sahaja jalan yang ada untuk membuka mata pihak-pihak tertentu.

"Sebelum itu kami telah menghantar memorandum kepada SPAD, namun tidak ada jawapan balas sehingga kini.

"Kami hanya mendapat alasan daripada pihak JPJ yang tidak membenarkan kami masuk ke kawasan Bukit Bintang sempena Tahun Melawat Malaysia," jelasnya.

Mohd Asharaf berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat kerana ia melibatkan periuk nasi setiap pemandu.

Artikel Lain