suria

Minyak Diesel Bersubsidi: Dua Lelaki Warga Asing Ditahan

Kapal yang digunakan untuk menyeludup minyak diesel.

KOTA TINGGI: Dua lelaki warga asing ditahan sepasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki cuba menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi di Sungai Kota, Pasak, Kota Tinggi, Johor pada Rabu.

Operasi Pensura yang diketuai oleh Inspektor Mohd Noor telah menahan sebuah kapal yang berdaftar sebagai City Point 001 Ulaan Bataar dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemui enam buah tangki berisi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 76,800 liter bernilai RM230,400.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua lelaki warga China itu turut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk bekerja di atas kapal tersebut.

"Kapal yang digunakan didapati melanggar syarat di bawah MSO 1952 iaitu Peraturan-peraturan Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 (Peraturan 8) kerana beroperasi di luar kawasan dan kami telahpun merampas kapal yang dinaiki," katanya.

Kesemua hasil rampasan termasuk kapal dianggarkan bernilai melebihi RM1 juta diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Diesel, seludup, Kota Tinggi, PPM

Artikel Lain