suria

Pembeli Alat Pembesar Zakar Tertipu

Michael Chong (kiri) dan peguam, Alex Kok menunjukkan mesej yang dikirimkan oleh seorang lelaki yang membeli alat pembesar zakar tetapi ditipu apabila hanya menerima kanta pembesar.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang membeli alat pembesar zakar dengan membuat bayaran sebanyak RM450 secara dalam talian tertipu apabila dia hanya menerima satu kanta pembesar dengan arahan "Jangan gunakannya pada waktu siang".

Pelanggan yang berasa terhina itu hanya mahu dikenali sebagai Ong, dari Seri Kembangan, merupakan antara pembeli yang terpedaya dengan penipuan secara dalam talian, sehingga kerugian ribuan ringgit.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, Ong merupakan antara tiga individu yang tampil berjumpa dengan beliau bagi mengadu mengenai mereka telah ditipu oleh penipuan dalam talian pada tahun ini. 

Satu lagi aduan yang meminta bantuan untuk diselesaikan apabila ditipu membayar RM78,000 untuk membeli sebuah skuter air Yamaha tetapi ia tidak dihantar kepada pembeli.

"Dia (pembeli) tidak dapat mengesan penjual berkenaan," kata Chong kepada sidang media di sini, Selasa bagi memberi amaran kepada para pembeli supaya berhati-hati ketika membuat tempahan secara dalam talian untuk mana-mana produk.

Beliau berkata, seorang lagi pengadu menempah sebuah telefon pintar dengan jenama terkenal, tetapi apabila menerima produk tersebut didapati komponennya bukan dari jenama yang asli.

Seramai 12 mangsa penipuan dalam talian membuat pengaduan kepada Chong sejak 2012.

"Kedua-dua lelaki dan wanita sama sahaja mudah terpengaruh dengan penipuan sebegini.

"Penipu menarik perhatian mangsa dengan menawarkan produk pada harga rendah.

"Selalunya, barang-barang ini tidak pernah diterima oleh para pelanggan, Dalam beberapa kes, pelanggan mendapat produk yang salah," kata Chong, sambil menambah bahawa salah satu bahayanya membeli produk dalam talian adalah tidak ada cara untuk mengetahui sekiranya barang-barang yang dibeli itu tidak selamat untuk digunakan atau sekiranya ia telah disahkan oleh Sirim. 

"Salah seorang daripada pengadu saya sebelum ini membeli periuk memasak secara dalam talian, dan ia meletup selepas beberapa hari digunakan. Dia nyaris maut dalam kejadian itu," katanya.

Artikel Lain