suria

Michael Chong Perjelas Kisah 'Alat Pembesar Zakar' Satu Gurauan

Michael Chong.

PETALING JAYA: Kisah seorang lelaki dari Seri Kembangan yang membeli "alat pembesar zakar" secara dalam talian tetapi hanya mendapat kanta pembesar sebaliknya merupakan bahan gurauan.

Dilaporkan bahawa lelaki itu telah membeli alat berkenaan pada harga RM450 tetapi menerima kanta pembesar dengan arahan, "Jangan gunakan pada waktu siang".

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menjelaskan bahawa ia merupakan contoh yang telah dimasukkan dalam sidang media pada Selasa kerana ia mahu memberi penekanan mengenai bahayanya membuat pembelian dalam talian, walaupun ia disampaikan secara berjenaka.

Pada awalnya, beliau tidak menyedari bahawa ia sekadar bahan gurauan.

"Ramai kawan-kawan saya, yang saya percaya, memanjangkan mesej itu kepada saya dan meminta saya untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipuan ini," kata Chong kepada The Star.

"Saya menerima banyak aduan mengenai penipuan ini setiap hari. Jika ini adalah satu bahan gurauan, ia pasti sesuatu yang lucu," katanya.

Chong menjelaskan bahawa beliau sering berhadapan dengan mangsa penipuan dalam talian, maka keutamaan beliau adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu tersebut di samping membantu mangsa-mangsa.

"Tujuan asal saya adalah untuk membantu pengadu mendapatkan mesej mengenai perkara itu dan mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan ini.

"Terdapat banyak iklan mengenai alat pembesar zakar di Internet, banyak yang diragui sebenarnya," katanya.

Chong berkata, beliau menerima banyak panggilan daripada kenalan beliau selepas cerita tersebut disiarkan pada Selasa.

"Cerita ini membuatkan mereka ketawa. Jika gurauan ini 'menenggelamkan' mesej tersebut, maka di mana bahayanya (penipuan dalam talian)?

"Mesej saya masih sama. Pembeli perlu berhati-hati apabila membeli barang secara dalam talian," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain