suria

Polis Harap Min You Ditemui

Low Min You.

KOTA KINABALU: Polis masih berharap agar dapat menemui Low Min You kerana kes kehilangan kanak-kanak itu masih lagi dalam siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata tiada petunjuk kanak-kanak berusia tiga tahun itu dicederakan.

"Ya, kami masih berharap dia hidup lagi," katanya pada Isnin.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada pukul 5.50 pagi 9 Mei lalu dekat stesen minyak di Kampung Air selepas bapanya meninggalkan dia yang sedang tertidur untuk ke tandas.

Difahamkan kereta tersebut telah dilarikan dan hanya ditemui beberapa jam kemudian tanpa kanak-kanak itu didalam kereta terbabit.

Kereta tersebut ditemui semula kira-kira 2 kilometer dari tempat ia dilarikan.

Setakat ini, polis telah mengambil keterangan 30 individu dalam membantu siasatan kes kehilangan Min You.

Selain ibu bapa kanak-kanak itu, polis turut merakam percakapan dengan kakak mangsa berusia lima tahun.

Bapa Min You, Low Yee Sheng dan isterinya, ditahan dan direman selama enam hari selepas polis menyedari wujud percanggahan dalam kenyataan mereka berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Mereka kemudiannya dibebaskan.

Artikel Lain