suria

Video Kumpulan Pelajar Perempuan Serang Rakan Tersebar

Kes buli di kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan. -Gambar hiasan
PETALING JAYA: Satu lagi video pergaduhan pelajar yang menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dengan kejam oleh sekumpulan pelajar perempuan lain muncul dan mendapat kritikan di media sosial.

Video berdurasi 1 minit, 17 saat itu dipercayai dirakam melalui telefon bimbit, bermula dengan sekumpulan kira-kira 10 pelajar perempuan sedang lepak berdekatan tangga, mengambil gambar 'selfie' dan menunjukkan isyarat 'peace' di kamera.

Kumpulan itu sebaliknya mula menyerang mangsa yang dilihat berdiri di antara kumpulan tersebut.

Kumpulan pelajar terbabit melakukan serangan dengan mengoyakkan tudung mangsa, mengheret, menendang dan menarik rambut mangsa, sehingga dia bertindak mengangkat tangan untuk melindungi mukanya.

Selepas serangan itu, mangsa menangis ditinggalkan sendirian di atas tangga.

Murid lelaki hanya memerhatikannya dari jauh tetapi tidak terlibat dalam serangan itu.

Video ini juga merakamkan isyarat tangan tidak sopan yang dilakukan oleh pelajar yang membuat rakaman tersebut yang merujuk dirinya sebagai 'pailang' (gangster).

Dia dilihat menggenggam kuat tangan mangsa pada awal rakaman video.

Walaupun kualiti video tersebut kabur, mangsa dilihat mula menangis pada permulaan rakaman, yang menunjukkan bahawa dia mungkin telah terdedah kepada tindakan lisan sebelum dipukul.

Tiada seorang pun daripada pelajar perempuan dalam video itu dilihat memakai lambang sekolah tetapi dipercayai mereka ialah pelajar dari sebuah sekolah di Kota Samarahan, Sarawak.

Menurut polis, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar bulan April 2014. Laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
serang, buli, pelajar

Artikel Lain