suria

Polis Sambung Reman Ibu, Bapa Tiri Kanak-Kanak Mati Didera

Jenazah Mohammad Akhil dituntut ahli keluarganya.
KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman sepasang suami isteri dilanjutkan sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, yang disyaki didera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, sebelum ini, pasangan itu direman dari 26 Mei lalu hingga semalam.

"Siasatan diteruskan dengan mengambil keterangan anak-anak suspek dan jiran mereka. Siasatan kini sudahpun 80 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Dalam kejadian 26 Mei lalu, Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Ampang dekat sini.

Kanak-kanak itu dipercayai didera oleh bapa tirinya, 35, yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Susulan kejadian itu, polis menahan ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 31 tahun dan lelaki itu di rumah mereka di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang.


Artikel Lain