suria

16 Tahanan Penjara Ayer Molek Bebas Gejala Meningococcal Meningitis - Exco

Ayub Rahmat.
JOHOR BARU: Enam belas tahanan Penjara Reman Ayer Molek yang sebelum ini diasingkan selepas didapati mempunyai gejala 'meningococcal meningitis', disahkan bebas daripada jangkitan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka sudah dimasukkan ke dalam sel biasa setelah tiada tanda-tanda menjurus kepada jangkitan selepas tempoh pengasingan selama lima hari berakhir pada Selasa.

Hasil ujian rawak terhadap lebih 900 tahanan dan warga kerja di penjara itu juga menunjukkan keputusan negatif, sekali gus mencerminkan keadaan jangkitan adalah terkawal, katanya kepada Bernama serta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selepas melawat penjara itu di sini.

Beliau berkata berhubung lima tahanan yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, baru-baru ini, seorang daripada mereka sudah dibenar pulang dua hari lepas manakala tiga masih di dalam wad pengasingan.

"Seorang lagi yang kita sahkan meningococcal meningitis telahpun menunjukkan tanda-tanda positif untuk pulih, maksudnya dia dah boleh bergerak," katanya.

Mengenai lawatannya, Ayub berkata beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan di penjara yang berkapasiti 1,000 orang itu.

Hanya perlu ditambah baik sedikit sahaja kerana ini bangunan lama, katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri telahpun memohon lanjutan tempoh pajakan penjara memandangkan penjara reman baharu di Ulu Choh hanya akan siap pada 2016.

 "Penjara baharu yang telah masuk tahun ketiga pembinaan dan menelan kos RM210 juta itu, kini memasuki fasa kedua pembinaan dan mampu menempatkan sebanyak 1,100 banduan," katanya.

Pada 23 Mei lepas, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang tahanan warga tempatan berusia 43 tahun dari penjara itu dijangkiti meningococcal meningitis.

Meningococcal meningitis merupakan radang selaput otak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria 'Neisseria meningitidis' dengan gejala utama kekejangan pada bahagian leher, demam, sensitif terhadap cahaya, menjadi keliru, sakit kepala dan muntah. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain