suria

Turunkan Bahan Kempen Dalam Tempoh 2 Minggu - SPR

SPR berikan tempoh dua minggu untuk calon PRK Bukit Gelugor menurunkan bahan kempen masing-masing.

GEORGE TOWN: Empat calon Pilihan Raya Kecil (PRK)  Parlimen Bukit Gelugor diberi tempoh dua minggu dari Isnin untuk menurunkan semua bahan kempen seperti poster, kain rentang dan bendera yang dipasang sepanjang pilihan raya itu.

Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pulau Pinang, Azizal Ahmad berkata, duit deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 yang dibayar semasa penamaan calon 12 Mei lepas tidak boleh dituntut jika calon gagal berbuat demikian dalam tempoh itu.

Beliau berkata, SPR dengan bantuan Majlis Perbandaran Pulau Pinang akan membuat pemeriksaan selepas tempoh dua minggu dan calon yang didapati gagal menurunkan bahan kempen akan dipanggil serta dimaklumkan tentang perkara itu.

"Selepas itu, jika mereka masih ingkar arahan, kami akan turunkan dan duit deposit calon tidak boleh dituntut. Jika duit (deposit) itu tidak mencukupi untuk proses itu kami akan minta tambahan daripada calon berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Isnin.

Pada pilihan raya kecil itu, calon DAP Ramkarpal Singh Deo, 38, yang merupakan anak ketiga penyandang kerusi DUN Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh, menang dengan majoriti 37,659 undi.

Beliau memperoleh 41,242 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi dan dua calon Bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi).

SPR, PRK Bukit Gelugor, Azizal Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain