suria

Polis Terus Buru Individu Jadikan Malaysia Sarang Pengganas – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
TELUK INTAN: Polis akan memastikan tiada ruang untuk militan atau pengganas bertapak di negara ini termasuk cubaan menyebarkan ideologi mereka, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pihak polis akan memburu mereka sehingga ke lubang cacing untuk memastikan tidak ada seorang pun pengganas bertapak di negara ini sama ada mereka rakyat Malaysia atau luar.

"Kita akan hapuskan seratus-peratus, tidak kira individu atau ideologi," katanya pada sidang media selepas Program Sepetang Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Rela Teluk Intan di Kg Selabak di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, empat individu didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan militan.

Ahmad Zahid yang mengulas perkara itu berkata, mereka yang ditahan telah disiasat dan didapati ingin menjadikan Malaysia sebagai tapak untuk melakukan keganasan.

"Saya tidak mahu campur soal mahkamah kerana ia akan menghina institusi itu. Tetapi apa yang penting adalah pihak polis serius dalam menangani keganasan ini.

"Polis akan menjejaki mereka yang masih belum ditahan. Tunggu pengumuman yang dibuat oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) sekiranya terdapat individu-individu lain yang ditahan selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, seramai 11 individu dipercayai anggota kumpulan militan ditahan polis bagi menyekat sepenuhnya kegiatan keganasan di negara ini.

Penangkapan tersebut akan diikuti dengan tindakan membawa anggota militan ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ahmad Zahid, kumpulan militan

Artikel Lain