suria

Mahkamah Putuskan Pascal Pentadbir Harta Pusaka Pengasas Ambank

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memutuskan bahawa anak lelaki tunggal pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia, Pascal Ahmad Najadi, adalah pentadbir harta pusaka ayahnya, Hussain Ahmad Najadi.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada beliau, terdapat hanya seorang individu yang berhak ke atas harta pusaka si mati iaitu Pascal.

Vazeer Alam berkata tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa harta pusaka si mati adalah tak solven atau terdapat keadaan yang memerlukan pelantikan orang lain selain pewaris iaitu Pascal.

Sehubungan itu, beliau membenarkan permohonan Pascal untuk dilantik sebagai pentadbir harta pusaka bapanya.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Dharmesh Singh Penesar, yang mewakili Pascal dan peguam Joshua Kevin bagi pihak isteri Hussain iaitu Cheong Mei Kuen, yang juga pengkaveat dalam saman ini.

Beliau turut mengarahkan Cheong membayar RM500 sebagai kos kepada Pascal.

Cheong memfailkan kaveat terhadap pengeluaran apa-apa surat kuasa mentadbir atau probet bagi harta pusaka si mati atas alasan beliau adalah orang yang berkepentingan ke atas harta pusaka si mati.

Afidavit Cheong mendakwa beliau telah berkahwin secara sah dengan si mati di Australia secara sivil mengikut undang-undang Australia dan perkahwinan itu diiktiraf sebagai sah mengikut Seksyen 104 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Mengulas kaveat itu, Vazeer Alam berkata mahkamah mendapati Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tidak boleh diguna pakai bagi menentukan keesahan hubungan suami isteri antara si mati dan pengkaveat, Cheong, memandangkan si mati beragama Islam dan Seksyen 3(3) akta berkenaan dengan jelas menyatakan bahawa ia tidak terpakai kepada orang Islam.

"Oleh itu, keesahan perkahwinan perlu ditentukan mengikut peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan bukan Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976," katanya.

Beliau berkata Cheong juga tidak pernah mencabar dakwaan ini atau mengemukakan apa-apam bukti bahawa beliau adalah seorang Islam. 

"Adalah tidak dapat dipertikaikan bahawa di bawah undang-undang, seorang yang bukan beragama Islam tidak diiktiraf sebagai benefisiari bagi harta pusaka tidak berwasiat seorang Islam. 

"Dalam keadaan ini, mahkamah ini perlu memberi perhatian kepada 'Sijil Faraid' yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dan memutuskan bahawa Cheong bukanlah orang yang berhak ke atas harta pusaka si mati," katanya.

Vazeer Alam juga berkata sebagai pengkaveat, Cheong bukanlah orang yang berkepentingan ke atas harta pusaka si mati dan beliau juga bukan orang yang diiktiraf dari segi perundangan sebagai berhak diberikan surat kuasa mentadbir harta pusaka si mati.

Pada 5 Disember tahun lepas, Pascal memfailkan saman pemula memohon surat kuasa mentadbir bagi harta pusaka bapanya atas alasan tiada sebarang hak terdahulu dan juga hak minoriti yang timbul dalam kematian tidak berwasiat itu. 

Pada 9 Oktober tahun lepas, Pascal memperoleh harta milik bapanya bernilai RM1.8 juta selepas Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan permohonan 'faraid' beliau.

Harta itu termasuk wang tunai RM321,195.70 dalam satu akaun bank serta harta dan saham sebuah syarikat di Labuan sebanyak 540,000 bernilai RM1.5 juta.

Artikel Lain