suria

PRK Teluk Intan: Polis Tahan Lelaki Ugut Bunuh Aktivis NGO

TELUK INTAN: Seorang lelaki ditahan kerana melakukan ugutan bunuh terhadap seorang aktivitis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supritendan Zaki Harun berkata, suspek dilaporkan telah mengugut mangsa yang berusia 50 tahun ketika mereka melakukan sedang melakukan persiapan berkempen di bilik gerakan sebuah parti di Taman Ratna, Jalan Changkat Jong dekat sini, pada pukul 4 pagi Rabu.

Menurutnya, suspek yang juga berusia 50 tahun itu kemudian berjaya ditahan oleh Pasukan Cantas Khas Perak dan Pasukan Cantas Khas Bukit Aman pada hari yang sama di Durian Tunggal, Melaka.

"Berdasarkan siasatan, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau telah dibawa ke Teluk Intan untuk direman selama dua hari bermula semalam (Khamis).

"Polis akan memanggil beberapa individu lain sebagai saksi atau mereka yang mungkin turut terlibat dalam kes yang sama," katanya di sini, Jumaat.

Zaki berkata, tangkapan itu merupakan yang pertama sepanjang tempoh PRK Parlimen Teluk Intan setakat ini.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun sekiranya disabit kesalahan," katanya.

Polis, Teluk Intan

Artikel Sebelum

Artikel Lain