suria

Najib Sambut Baik Penyertaan Jepun Dalam Proses Bida Antarabangsa Projek Kereta Api Laju

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Shinzo Abe sebelum mengadakan mesyuarat tertutup dua hala di pejabat Perdana Menteri Jepun itu sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 di sini malam Rabu di Tokyo.
TOKYO: Malaysia mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan antarabangsa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Kenyataan ini merupakan maklum balas terhadap minat yang ditunjukkan rakan sejawatannya, Shinzo Abe, bagi syarikat-syarikat Jepun mengambil bahagian dalam projek kereta api laju itu dan pada masa yang sama mempelawa Malaysia memanfaatkan teknologi Jepun dan pengetahuan dalam pembangunan prasarana.

Bercakap di sidang akhbar bersama yang diadakan selepas mesyuarat dua hala di sini, Najib berkata Abe juga telah menyatakan harapannya untuk Malaysia menerima pakai Sistem Shinkansen, dengan menekankan sistem itu mempunyai teknologi canggih dan rekod keselamatan yang baik.
 
"Terutamanya, bagi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, saya mengulangi harapan Malaysia mengguna pakai sistem kereta api laju Jepun, Shinkansen," kata Abe.

Pada tahun 2013, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur kepada 90 minit.
 
Shinkansen dikenali sebagai 'bullet train' atau kereta api berkelajuan tinggi. Ia merupakan satu daripada kereta api terpantas di dunia dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di seluruh Jepun.

Selain daripada kereta api laju, Malaysia juga menyambut baik kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara dalam pelbagai projek kemudahan prasarana di Malaysia, termasuk teknologi hijau, peralatan pelabuhan, projek kemudahan rawatan air dan pembangunan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
 
"Saya juga berkongsi dengan Abe bahawa tumpuan seterusnya akan diselaraskan dalam bidang-bidang ini kerana ia akan menyumbang ke arah Wawasan 2020 Malaysia sebagaimana yang ditekankan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara kita," kata beliau.

Kedua-dua negara akan terus melaksanakan dasar-dasar mesra pelaburan dan memperkenalkan insentif daya saing untuk terus merangsang aktiviti ekonomi terutamanya oleh sektor swasta, kata Najib.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri itu juga telah membincangkan mengenai cara untuk memperkukuhkan Dasar Pandang ke Timur Gelombang Kedua (LEP 2.0).

"Fasa LEP 2.0 seterusnya akan meningkatkan kerjasama institusi dalam latihan dan pendidikan dengan tumpuan ekonomi yang lebih kukuh ke arah meningkatkan potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang keutamaan kedua-dua negara," kata Najib.

Oleh itu, beberapa projek/program telah dibincangkan yang meliputi pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

Ini termasuk untuk meningkatkan peranan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT) dan meningkatkan hubungan perniagaan dengan perniagaan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan automotif.

Mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang, Najib menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun telah mengadakan kerjasama kukuh dalam pembinaan keupayaan dan pembangunan sumber manusia dalam keselamatan maritim.

Berikutan itu, Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun terutamanya Pengawal Pantai Jepun (JCG) di atas sumbangan meningkatkan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama antara APMM dan JCG dalam pembangunan sumer manusia dan keselamatan maritim," katanya.

Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan dalam hal ini, Najib menegaskan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan anggota Asean yang lain dalam merealisasikan Komuniti Asean dan mewujudkan "Asean Yang Mementingkan Rakyat".
 
"Kita bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada Jepun ke arah mencapai Komuniti Asean menjelang 2015," kata beliau.

Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Oleh itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa isu-isu berkaitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman.

Ini termasuk dialog dan perbincangan dalam kalangan negara-negara terbabit, tanpa memilih ancaman atau menggunakan kekerasan, sejajar dengan prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Ketika menekankan bahawa mesyuarat itu sangat berhasil dan membina, meliputi pelbagai isu dua hala dan serantau untuk faedah bersama, Najib berkata: "Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Jepun untuk mengukuhkan lagi hubungan kita secara progresif dan bersemangat ".

Najib, Jepun, kereta api laju

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain