suria

Tong Gas Memasak Meletup, Bapa & Dua Anak Cedera

KOTA BAHARU

: Seorang bapa dan dua anaknya cedera selepas terkena api akibat letupan tong gas memasak yang bocor di rumah mereka Taman Mimi, Wakaf Baharu, Tumpat, pada Rabu.


Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, Mohd Eddie Hariry Mohd Nor, 33, bersama-sama dua anaknya Nor Syafiqa, 10, dan Nor Syakira Anis, 2, berada di bahagian dapur rumah dan cuba membaiki kerosakan pada tong gas selepas terhidu bau gas.

Bernama difahamkan mangsa dipercayai telah memasang kepala tong gas itu dan menghidupkan api sebelum ia meletup.

Ibu mentua Mohd Eddie Hariry, Hamidah Hamzah, 63, berkata: "Ketika saya berada di ruang tamu rumah, saya lihat dia (Mohd Eddie Hariry) berjalan ke arah dapur. Memang ada bau gas dan saya rasa gas bocor, sebelum berlaku letupan kuat secara tiba-tiba."

Bercakap kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini, beliau berkata ketika api mula marak di ruang dapur, dia melihat menantunya merempuh pintu dapur untuk menyelamatkan diri dan anak-anak.

Jurucakap HRPZII berkata mangsa tiba di hospital itu pada 4.20 petang sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk rawatan.
 
"Mohd Eddie Hariry dan Nor Syafiqa cedera parah di badan dan kedua-dua mereka akan menjalani pembedahan malam ini," kata jurucakap itu.

Nor Syakira Anis cedera ringan dan keadaaannya dilaporkan stabil.
tong gas meletup

Artikel Lain