suria

Firma Undang-Undang AS Nafi Dakwaan MAS

KUALA LUMPUR: Firma undang-undang yang berpusat di Chicago yang mewakili keluarga tujuh anak kapal pesawat MH370 yang hilang menafikan dakwaan Malaysia Airline (MAS) bahawa firma itu menuntut syarikat penerbangan itu untuk berkomunikasi hanya dengan mereka.

Keluarga-keluarga berkenaan sebelum ini mengadu bahawa MAS telah menghentikan bantuan kebajikan dan memutuskan semua komunikasi dengan mereka sejak 8 Mei, dengan berkata syarikat penerbangan itu hanya mahu berurusan terus dengan Ribbeck Law Chartered selepas mengetahui mereka telah memperoleh khidmat firma tersebut.

"Ribbeck Law Chartered pada bila-bila masa tidak pernah berhubung dengan MAS supaya berhenti menyediakan maklumat mengenai pencarian pesawat MH370 yang hilang atau apa-apa jenis bantuan lain kepada pelanggan kami," peguamnya Monica R. Kelly berkata dalam satu kenyataan, Rabu.

Keluarga-keluarga tersebut juga telah menghubungi firma undang-undang itu untuk mendapatkan nasihat mengenai dokumen undang-undang yang diberikan kepada mereka oleh MAS.

Mereka mendakwa syarikat penerbangan itu telah meminta mereka menandatangani kertas dengan terma undang-undang yang mereka tidak faham.

MAS telah menghantar e -mel kepada mereka minggu lalu meminta mereka bertanyakan secara terus semua pertanyaan mereka mengenai carian dan hal-hal lain berkaitan MH370 kepada pasukan undang-undang syarikat penerbangan itu melalui peguam mereka sendiri.

"Sebahagian keluarga tersebut telah melantik peguam asing untuk menjaga keperluan mereka, dan peguam-peguam ini telah mengarahkan MAS untuk berhenti berurusan secara langsung dengan klien mereka, dan supaya MAS menyalurkan semua komunikasi yang berkaitan dengan keluarga anak kapal kepada mereka," kata kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, MAS mendakwa mereka masih 'terus berhubung' dengan keluarga anak-anak kapal melalui penubuhan Pusat Sokongan Keluarga (FSC) baru-baru ini.
MH370, MAS, Ribbeck Law Chartered

Artikel Lain