suria

Dyana Sofya Tidak Jejas Undi Melayu Kepada BN - Zambry

TELUK INTAN: Pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan tidak  menjejaskan undi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan itu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, Dyana yang berbangsa Melayu tidak dapat memastikan bahawa pengundi akan menyokongnya.

"Dalam pertandingan sebegini (politik), kita tidak pernah membezakan jantina begitu juga kaum, antara Melayu dan bukan Melayu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kg Baru Ayer Hitam di sini, Rabu.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) PRK Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong yang juga Presiden Gerakan.

Pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkata, BN telah membuktikan bahawa parti itu tidak menggunakan pendekatan kaum dalam mempromosikan calon.

Kawasan parlimen Teluk Intan terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu, Seah mengalahkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.


DAP, BN

Artikel Lain