suria

Pengundian Awal PRK Parlimen Bukit Gelugor Esok

GEORGE TOWN: Pengundian awal pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor melibatkan 148 pengundi berdaftar akan dijalankan esok di empat pusat pengundian awal.

Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Azizal Ahmad berkata empat pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 2 petang.

Empat pusat pengundian awal itu ialah Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, bilik maklumat Balai Polis Air Hitam, bilik maklumat Balai Polis Bandar Baharu dan Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Pinang di Gelugor.
 
"Seramai 100 anggota polis dan 48 tentera bersama keluarga mereka akan mengundi awal esok," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua anggota tentera dan keluarga mereka akan mengundi di Markas TLDM KD Seri Pinang manakala bagi polis pula, empat orang akan mengundi di Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, 55 orang di Balai Polis Air Hitam dan 41 orang di pusat mengundi Balai Polis Bandar Baharu.

Azizal berkata SPR juga telah membuat persiapan bagi proses pengundian awal esok dan pengundian pada 25 Mei ini.
 
"Semua persiapan untuk proses pengundian berjalan lancar termasuk dakwat kekal yang akan digunakan esok dan 25 Mei ini, kami telah terima (dakwat kekal)

sejak 13 Mei lepas dan ia disimpan di satu lokasi yang paling selamat," katanya.

Beliau berkata setakat ini proses berkempen calon yang bertanding berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Ramkarpal Singh Deo daripada DAP; Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan; serta dua calon Bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain