suria

PRK Bukit Gelugor: Gerai Serabai Laris, Tumpuan Calon Berkempen

Gerai Serabai Istimewa resipi warisan keluarga Jamaliah dan Jamilaton masih kekal di Astaka Taman Tun Sardon, Gelugor.

GEORGE TOWN: Kempen calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor di Astaka Taman Tun Sardon, Gelugor, sedikit sebanyak meningkatkan kehadiran pelanggan, terutama untuk bersarapan.

Antara yang turut mendapat sambutan adalah gerai Serabai Istimewa yang diusahakan pasangan adik-beradik Jamaliah Hasan dan Jamilaton Hassan sejak 22 tahun lalu.

Serabai merupakan sejenis kuih tradisional di Pulau Pinang yang dihasilkan menggunakan tepung beras dan santan.

Menurut Jamaliah, 56, kehadiran pelanggan yang datang untuk membeli kuih tradisional itu menggalakkan terutama pada Jumaat lalu.

"Jika kebiasaannya kita dapat menjual dalam 200 keping, tapi pada Jumaat lalu jualan meningkat kepada 300 keping. Kedatangan calon untuk berkempen mungkin mempengaruhi jualan kami.

"Itu belum lagi masuk jualan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Tidak menang tangan kita dibuatnya. Namun, alhamdulillah atas rezeki ini," katanya.

Menurut Jamaliah, gerai tersebut pernah dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiga tahun lalu.

"Beliau turut menempah kita-kira 3,000 keping kuih Serabai ketika sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas di Padang Kota Lama, Disember tahun lalu," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, istimewannya kuih itu dihasilkan menerusi resipi turun-temurun keluarganya yang memang terkenal dengan sajian tersebut sekitar  70-an.

"Proses untuk menghasilkan kuih ini rumit...sekurang-kurangnya ambil masa tiga hari.

"Pertama beras perlu direndam semalaman sebelum boleh dikisar. Selepas itu barulah proses memerah santan dilakukan," katanya sambil menambah kuih itu dijual pada harga 70 sen sekeping.

Nama Astaka Taman Tun Sardon diambil sempena bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1975 hingga 1981.

Ia terkenal dikalangan orang kenamaan, artis dan pelancong asing kerana menyajikan pelbagai jenis makanan khususnya untuk sarapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain