suria

Janji Beri RM100 Setiap '1A' UPSR - Abu Backer

Abu Backer (kanan) memberi kata semangat kepada Mohd Iqbal yang akan menduduki UPSR.

GEORGE TOWN: Pelbagai cara digunakan calon pilihan raya kecil untuk mendapat sokongan pengundi, malah ada yang berjanji akan memberi saguhati kepada anak pengundi jika berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan, mungkin kos hidup yang makin meningkat mendorong beliau berjanji kepada kanak-kanak terbabit. Cuma jangan pula ada yang tersalah anggap peguam itu berbuat demikian semata-mata kerana terdesak untuk mendapat undi.

Kanak-kanak lelaki itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd Iqbal, 12 dan akan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berada di Astaka Taman Tun Sardon bersama bapanya ketika ditemui Abu Backer yang berkempen  untuk kerusi Parlimen Bukit Gelugor di kawasan tersebut, pagi Sabtu.

"Saya akan beri RM100 untuk setiap 1A yang diperolehnya. Itu janji saya. Saya juga akan buat baju kot untuk digunakannya ketika terima keputusan cemerlang itu," kata peguam berusia 46 tahun itu.

Menurut Abu Backer, pemberian wang sagu hati itu sebagai menyuntik semangat Mohd Iqbal untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam pelajarannya.

Beliau meluangkan masa selama 10 minit berbual dengan kanak-kanak itu yang bersarapan dengan bapanya.

Sementara itu, Mohd Iqbal turut mendengar dengan teliti nasihat yang diberikan Abu Backer dan sering dilihat menganggukkan kepalanya.

Abu Backer kemudiannya meninggalkan perkarangan astaka dan bertemu dengan peniaga di Pasar Awam Taman Tun Sardon selama sejam.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor menyaksikan persaingan empat penjuru antara Abu Backer dengan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo dan dua lagi calon bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar dan Datuk Huan Cheng Guan dari Parti Cinta Malaysia (PCM) pada 25 Mei ini.

Artikel Lain