suria

Ramkarpal Berkeras Guna 'I am Karpal Singh'

GEORGETOWN: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo pada Sabtu menegaskan akan tetap menggunakan slogan 'I Am Karpal Singh' dalam kempennya walaupun tindakan tersebut dibidas pelbagai pihak.

"Ya, slogan itu akan kekal digunakan di poster, sepanduk, risalah dan kipas tangan yang diedarkan sepanjang kempen. Saya percaya semua faham mengenainya.

"Makna slogan itu tidak sepatutnya diterjemahkan secara bulat-bulat. Ia hanya menggambarkan semangat Karpal yang sentiasa bersama kami," katanya kepada pemberita di Dewan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK), Pangsapuri Desa Mawar di Air Itam, pagi Sabtu.

Ramkarpal berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar yang mempertikaikan penggunaan slogan tersebut dalam kempen anak ketiga mendiang Karpal Singh itu.

"Nabi Bux harus faham ia hanyalah slogan semata-mata tapi dia tidak memahaminya. Sudah jelas memang saya bukan Karpal Singh tapi semangatnya tetap membara dalam diri saya," katanya.

Jelas Ramkarpal, petugas parti telah menggantung kira-kira 250 kain rentang yang tertera slogan 'I Am Karpal Singh' sehingga hari keenam kempen.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelawaan calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang meminta beliau menghadiri satu forum bagi membincangkan isu nasional, Ramkarpal berkata beliau perlu melihat agenda yang ingin dibangkit terlebih dahulu.

"Saya tak dengar apa-apa lagi. Saya perlu lihat dulu agendanya. Saya tak boleh komen sehingga dimaklumkan mengenainya," katanya.

Ramkarpal berkata, beliau bertembung dengan Abu Backer di Pasar Taman Tun Sardon ketika bertemu dan beramah mesra dengan peniaga dan penduduk di kawasan tersebut yang majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu.

"Kami bertemu di Pasar Taman Tun Sardon tadi. Dia juga berkempen sama seperti saya," katanya.

Terdahulu, Ramkarpal bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Wong Hon Wai dan penduduk di Pangsapuri Desa Mawar mengadakan aktiviti gotong-royong seawal pukul 8 pagi.

Bukit Gelugor, Karpal Singh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain