suria

Edar Dadah: Tiga Warga Iran Dihukum Gantung Sampai Mati

SHAH ALAM: Tiga lelaki warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini bagi kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu setelah berpuas hati pembelaan Majid Palizdar Fereidoun, 36, Hossein Jafaraghaei Davood, 29, dan Hamidreza Farahmand Hassan, 38, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian luar hadapan Pintu 5, Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3 KLIA pada kira-kira 12.05 tengah malam 2 Februari 2010 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Mengikut fakta kes, Majid didakwa mengedar 1,403.7 gram methamphetamine manakala Hossein serta Hamidreza masing-masing didakwa mengedar 1,446.4 gram dan 1,441 gram dadah jenis sama di tempat dan waktu yang sama.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata ketiga-tiga tertuduh mendakwa datang ke Malaysia untuk memperkenalkan 'kick-boxing' kerana Majid dan Hamid merupakan jurulatih sukan itu di negara asal mereka.

Beliau berkata mereka juga mendakwa seorang rakan lelaki yang baharu dikenali ketika singgah di Armenia, meletakkan dadah itu ke dalam beg mereka sebelum masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, Ghazali berkata mahkamah menolak pembelaan ketiga-tiga tertuduh selepas memutuskan ia adalah penafian dan rekaan semata-mata yang bertujuan menyelamatkan diri masing-masing.

Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga warga Iran ditempatkan di Penjara Kajang sementara menunggu hukuman.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 11 orang untuk memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan tiga saksi iaitu kesemua tertuduh.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abdul Latif dan Siti Noorbaya Jamil manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat.

Artikel Lain