suria

Waspada Penjenayah Pecah Cermin Kereta, Samun Beg Tangan

KUALA LUMPUR: Polis menerima 10 laporan kes samun dengan memecah cermin kereta sebelum merampas beg tangan di tempat duduk penumpang.

Ketua Polis Wangsa Maju, Supritendan Nor Azman Muhamad Yusof, berkata semua kes terbabit berlaku sekitar daerah itu termasuk Gombak, Genting Kelang dan Ampang Hilir dengan mensasarkan wanita berusia dalam lingkungan 40-an.

"Kejadian ini biasanya dilakukan ketika waktu hujan, lalu lintas sesak dan ketika kenderaan berhenti di lampu isyarat.

"Modus operandi mereka adalah bergerak berdua menggunakan motosikal dengan memantau kereta yang dipandu wanita dan menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kereta mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Rabu.

Sehubungan itu, Nor Azman menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya berhati-hati ketika memandu dan berwaspada jika ada penunggang motosikal yang mencurigakan berada berhampiran kenderaan mereka.

Sementara itu, Nor Azman yakin pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 50 kes samun di sekitar Wangsa Maju berikutan penahanan tiga lelaki pada 4 Mei lalu.

Katanya, kira-kira pukul 3 pagi polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Taman Sri Rampai selepas menerima aduan mangsa samun.

"Susulan itu, kami dua lagi lelaki berusia 16 dan 21 tahun ditahan di sebuah rumah di Air Panas, Setapak dipercayai terlibat dengan beberapa kes samun.

"Polis merampas sebuah telefon bimbit dan komputer riba di lokasi tersebut dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua mereka mengaku terbabit dalam 50 kes samun sepanjang tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan.

Artikel Lain