suria

Nabi Bux Pertahan Hudud, Kempen Naik Lori

GEORGE TOWN: Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar membuat penampilan pertama di sekitar pasar malam Taman Tun Sardon, Gelugor, petang Rabu.

Beliau tiba di sini menggunakan sebuah lori yang dihiasi kain rentang yang tertera perkataan 'Undilah saya demi hukum hudud di Pulau Pinang'.

Mohamed berucap di atas lori tersebut dan berjanji akan melakukan perubahan di taman perumahan itu jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

"Saya tidak pandai bercakap tapi saya boleh buat kerja. Jika diberi peluang saya akan membawa perubahan di taman ini.

"Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan ahli Umno tetapi ahli PAS. Saya juga masih ahli PAS tetapi sekarang saya bertanding menggunakan logo Bunga Raya selepas mereka (PAS) menafikan keahlian saya," katanya.

Tindakan Mohamed Nabi mencetuskan kontroversi apabila beliau mengumumkan akan bertanding atas tiket PAS dan menunjukkan bukti keahliannya ketika mengambil borang pencalonan di pejabat SPR di sini, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan tidak membenarkan mana-mana ahli parti untuk bertanding.

Mohamed Nabi turut memberi jaminan tidak akan berlaku penindasan terhadap umat Islam dan bukan Islam sekiranya beliau diberi mandat.

"Saya berjanji untuk menyelesaikan masalah parkir yang dihadapi rakyat di negeri ini. Di mana janji kerajaan negeri yang ingin membantu menyelesaikan permasalahan ini?," katanya.

Mohamed Nabi kemudiannya ditemani beberapa penyokong mengedarkan risalah kepada peniaga dan orang ramai yang datang ke pasar malam yang terdapat di situ.

Beliau meluangkan masa hampir sejam  bertemu dan beramah-mesra dengan pengundi di situ.


Artikel Lain