suria

Kerajaan P. Pinang Didesak Turunkan Pemancar

Contoh pemancar 1BestariNet.

GEORGE TOWN: Penduduk Taman Lebuhraya Jelutong mahu kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) campurt tangan dalam usaha mengarahkan sebuah syarikat telekomunikasi menurunkan menara pemancar terletak kurang 50 meter dari kawasan kediaman mereka.

Wakil penduduk Connie Tan, 57, berkata penduduk bimbang menara pemancar dipasang dalam kawasan sekolah di situ sejak 2 Okt 2013 boleh menjejaskan kesihatan mereka.

"Setiap hari perbualan penduduk di sini agar diturunkan menara pemancar itu, semua orang hidup dalam ketakutan sejak menara itu dibina, sudah banyak surat yang dihantar tetapi masih tiada tindakan.

"Bukan sahaja surat bantahan, kami juga telah kumpulkan tandatangan lebih 250 orang penduduk bagi nyatakan bantahan, kami tidak tolak teknologi tetapi buatlah dengan cara yang betul serta tidak menjejaskan kesihatan," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Menara komunikasi dibina di kawasan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong Barat itu bagi program 1BestariNet.

Setiausaha Penang EMF Protection Association Ong Bee Lay berkata, mereka juga telah menyerahkan nota bantahan kepada wakil Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik Dan Tebatan Banjir Chow Koon Yeow iaitu Arkitek Kanan MPPP Danny Koay Hock Hsiang.

"Melalui wakil itu, kami diberitahu pihak syarikat akan mengadakan perbincangan bersama-sama penduduk dan pihak pengurusan sekolah mengenai perkara ini tanpa melibatkan Pihak Berkuata Tempatan, tetapi tarikhnya belum ditentukan lagi," katanya.


Pulau Pinang, MPPP

Artikel Lain