suria

PRK Bukit Gelugor: Dua Jalan Ditutup Pada Isnin

GEORGE TOWN: Dua batang jalan ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang di sini akan ditutup buat sementara waktu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, jalan tersebut ialah Jalan Tun Syed Barakbah dan Jalan Padang Kota Lama akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai 7 pagi sehingga selesai proses penamaan calon itu.

Lebuh Farquhar dan Lebuh Light pula akan dijadikan jalan sehala serta dilencongkan ke Jalan Masjid Kapitan Keling untuk melancarkan trafik di sekitar Dewan Sri Pinang yang ditetapkan sebagai pusat penamaan calon.

"Calon serta penyokong parti DAP dijadual berhimpun di Jalan Tun Syed Barakbah sementara kumpulan dari calon bebas dibenar berkumpul di Jalan Padang Kota Lama dan berarak masuk ke kawasan dewan melalui Lebuh Duke," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau meminta orang ramai yang tidak terlibat dengan proses penamaan calon supaya tidak menggunakan jalan-jalan berkenaan untuk mengelak kesesakan.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Mei sebagai tarikh pengundian PRK Bukit Gelugor dan pengundian awal dijadualkan pada 21 Mei.


Bukit Gelugor, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain