suria

Projek Kejiranan Indah Cecah Lebih RM50 Juta

Abdul Rahman (kiri) melihat pameran kerja menaiktaraf taman selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kejiranan Indah Taman Jengka Impian di sini, Sabtu.

MARAN: Sebanyak 50 projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan:Kejiranan Indah akan dilaksanakan tahun ini membabitkan kos RM52.86 juta.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, 20 daripadanya adalah projek perumahan awam kos rendah yang dibaik pulih manakala selebihnya pembinaan semula rumah yang musnah dalam kebakaran atau rumah usang.

"Kita sedia maklum bahawa penduduk yang mendiami kawasan perumahan melebihi 10 tahun menghadapi pelbagai masalah, ada bangunan dan utiliti yang tidak diselenggara dan sebagainya.

"Bermula Julai 2012 hingga akhir tahun lalu, kerajaan telah melaksanakan projek Kejiranan Indah di 54 lokasi di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan:Kejiranan Indah Taman Jengka Impian, dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata, walaupun projek Kejiranan Indah perumahan awam ditumpukan di perumahan jenis bertingkat atau strata, itu tidak bermakna penduduk di kawasan perumahan awam teres diketepikan.

Abdul Rahman berkata, Taman Jengka Impian adalah satu daripada tiga kawasan perumahan teres kos rendah yang terpilih untuk dibaik pulih pada 2013.

Bagi projek Taman Jengka Impian, beliau berkata kerja baik pulih menelan kos RM1.32 juta yang memberikan keselesaan kepada 1,500 penghuni.

"Menerusi projek Kejiranan Indah, penduduk di sini dapat menikmati kemudahan dewan komuniti, gelanggang futsal, taman permainan dan surau baharu yang menelan belanja RM120,000," katanya.


Artikel Lain