suria

Kerajaan Jamin Produk KR1M Selamat, Berkualiti

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya produk dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak selamat dan tidak berkualiti.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek memberi jaminan semua produk di KR1M adalah selamat dan berkualiti walaupun harganya jauh lebih rendah.

"Tuduhan seperti ini mempunyai niat tidak elok dan bertujuan melumpuhkan usaha kerajaan dalam menyediakan alternatif kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan harian dengan harga berpatutan.

"Kalau betul ada penipuan, maklumkan kepada kita agar kementerian boleh mengambil tindakan sepatutnya...bukan hanya sekadar cakap-cakap kosong sahaja tanpa laporan rasmi berserta butiran lengkap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di sini, Sabtu.

Sehingga kini terdapat tiga KR1M beroperasi di Terengganu iaitu di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Mengulas lanjut, Hasan menegaskan kesemua produk makanan dijual di KR1M telah disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan dan ia mempunyai label Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang membuktikan jaminan kualitinya.

"Sebab itu, kementerian mahu menggandakan usaha untuk pendidikan kepenggunaan agar rakyat di negara ini menjadi pengguna yang bijak dan berhemah serta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu.

"Jika benar ada penipuan mengenai kualiti makanan, Persatuan Pengguna Negeri dan Daerah boleh membuat laporan kepada kementerian melalui e-aduan untuk membolehkan siasatan dijalankan," katanya.

Sehingga kini, terdapat 378 jenis produk dijual di KR1M merangkumi produk makanan dan bukan makanan, malah kementerian juga akan memperluas jualan produk barangan basah secara berperingkat di KR1M seluruh negara.


KR1M, KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek

Artikel Lain