suria

Pemilihan PKR: Saya Tak Akan Tarik Diri - Saifuddin

PETALING JAYA: Saingan pada pusingan akhir pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu ini semakin panas apabila ada pihak cuba mempengaruhi Datuk Saifuddin Nasution Ismail supaya menarik diri daripada terus bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Ia berikutan keputusan terkini pemilihan yang diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sejak awal pagi Khamis menunjukkan Saifuddin berada di kedudukan terakhir iaitu di belakang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, saranan supaya Saifuddin menarik diri dibuat bagi mengelak berlakunya pepecahan undi antara beliau dan Abdul Khalid dengan tujuan menyekat Mohamed Azmin Ali selaku pendahulu perebutan jawatan berkenaan.

Saifuddin yang mengakui perkara itu berkata, mesej kumpulan terdesak itu meminta beliau menarik diri sebelum pemilihan pusingan akhir di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutusan dan Selangor pada Sabtu dan Ahad ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR itu menolak cadangan berkenaan dan menegaskan beliau mahu meneruskan perjuangannya hingga ke garisan penamat.

"Saya sedia maklum ada pendapat yang mencadangkan agar saya menarik diri untuk memberi laluan kepada pertembungan di antara saudara Azmin Ali dan saudara Khalid Ibrahim.

"Namun saya percaya setiap calon mempunyai kelebihan dan agenda baik yang telah dibentangkan kepada anggota parti, justeru sebaiknya kita menghormati pesta demokrasi di dalam parti ini," katanya pada lewat petang Khamis.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata beliau dan pasukannya di bawah tema 'Masa Depan Bersama' akan terus berkempen termasuk di 17 cabang bermasalah yang diarah untuk diadakan pemilihan semula pada 17 dan 18 Mei ini.

Keputusan sehingga pemilihan pusingan kedua pada 4 Mei lalu menunjukkan Mohamed Azmin terus mengungguli pertandingan apabila meninggalkan dua pencabarnya dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Ahli Parlimen Gombak itu kini berada di zon selesa selepas memperoleh 9,876 undi mendahului Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat 6,217 undi, manakala Saifuddin yang juga Setiausaha Agung parti mencatat 5,717 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain