suria

MCA Tidak Bincang Soal Portfolio Kabinet Dengan PM - Liow

Liow Tiong Lai.
SEGAMAT: MCA hanya menyatakan hasrat untuk kembali menyertai kabinet, manakala soal portfolio tidak pernah disebut dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata MCA menyerahkan soal portfolio kepada Perdana Menteri kerana hasrat parti itu kembali ke dalam jemaah menteri adalah untuk membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan lebih berkesan.
 
"MCA menyertai kabinet bukan semata-mata untuk jawatan tetapi untuk memikul tanggungjawab menjalankan kerja-kerja membantu rakyat di peringkat akar umbi.

"Perdana Menteri telah dimaklumkan tentang hasrat MCA untuk menyertai kabinet. Yang penting kita mahu memastikan keberkesanan MCA dalam menyelesaikan isu dan masalah rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gerbang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Siput di sini, Jumaat.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat dan pemimpin-pemimpin MCA Sekijang dan Segamat.Liow berkata demikian ketika mengulas sama ada MCA meminta portfolio tertentu dalam kabinet semasa menyatakan hasrat untuk kembali ke dalam jemaah menteri dengan Perdana Menteri.

Mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gelugor, beliau berkata parti itu akan memutuskan siapa calonnya esok.
 
"Kita kena ambil kira maklumat dari akar umbi di kawasan tersebut sebelum menentukan siapakah bakal calon BN daripada MCA untuk bertanding di kawasan itu. Kita masih mempunyai masa sehingga saat akhir esok," kata beliau.


Liow Tiong Lai, jawatan Kabinet

Artikel Lain