suria

Sasar 15 Peratus Kuliah IPTA Secara Online

Gambar Hiasan. Kuliah IPTA di seluruh negara secara bersemuka akan diubah kepada dalam talian.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mensasarkan 15 peratus kuliah yang dijalankan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun depan melalui Sistem Pembelajaran Secara Terbuka atau Massive Open Online Courses (MOOC) menerusi dalam talian.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, MOOC adalah pendidikan produktif dan interaktif, sesiapa sahaja boleh belajar dan mengakses sistem pembelajaran secara dalam talian bila-bila masa dan di mana sahaja.

Beliau berkata tidak semua kursus akan dilaksanakan melalui MOOC di IPTA memandangkan teras pengajaran asas adalah di dalam kelas, kerana majoriti kursus memerlukan persekitaran bilik darjah dan bukan pembelajaran interaktif secara dalam talian.

"Menjelang tahun depan, 15 peratus daripada kursus perlu dijalankan secara dalam talian.

"Ia bukan keseluruhan secara dalam talian, dalam konteks MOOC, anda masih perlu pergi ke kelas, MOOC ada pelbagai kaedah, secara dalam talian terdapat pelbagai cara," katanya selepas melancarkan MOOC Taylor's University di sini, Khamis.

Turut hadir Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Prof Datuk Dr Hassan Said dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Taylor's University, Prof Mushtak Al-Atabi.

Idris berkata, terdapat beberapa institusi awam melaksanakan program pendidikan inklusif dan ia bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bilangan institusi awam yang telah melaksanakan MOOC.

"Tetapi kita menjangkakan peningkatan bilangan IPTA yang mengambil bahagian dan meningkatkan sasaran lebih daripada 15 peratus," katanya.


Datuk Seri Idris Jusoh, MOOC, IPTA

Artikel Lain