suria

Menteri Mohon Maaf Isu Mansuh Ruangan Kaum Dalam Borang Rasmi

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun pada Khamis memohon maaf atas kekeliruan yang timbul berikutan laporan tentang pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tidak memberi nilai tambah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu ada dibincangkan dalam Kabinet namun tiada sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan tidak mencerminkan kenyataan sebenar yang dibuat olehnya semalam.

"Laporan yang tidak tepat ini telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat," kata Entulu dalam kenyataan ringkasnya itu.

Dalam sidang media di sini semalam, Entulu dilaporkan berkata Kabinet memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas laporan itu di Taiping, Perak hari ini menjelaskan Kabinet tiada membuat keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Perdana Menteri juga dilaporkan berkata tiada perubahan dasar kerajaan berhubung borang itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain