suria

10 Pegawai Kanan Polis Bertukar, Naik Pangkat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 10 pegawai kanan polis, berkuat kuasa Selasa.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Abdul Samah Mat dilantik sebagai Ketua Polis Selangor, memangku pangkat Senior DCP.

Jawatan Abdul Samah diganti SAC Datuk Abd Manan Mohd Hassan, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat DCP.

Sementara, SAC Datuk Hamzah Md Jamil, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Terengganu dilantik menggantikan jawatan Abdul Manan.

Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Saiful Azly Kamaruddin pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pencegahan Pembanterasan Jenayah/Sukarelawan Polis/Polis Bantuan/Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)/ Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ), Bukit Aman, yang sebelum ini telah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Unit Pengambilan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Beliau akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner Polis (SAC).

ACP Dr Mustafa Khan Abdul Samat, yang sebelum ini memegang jawatan Pegawai Turus (PT) Urusetia Ketua Polis Negara (Pentadbiran), Bukit Aman, dilantik sebagai ACP Pengajian Sains Kepolisan, Maktab PDRM.


Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang manakala jawatannya digantikan oleh Supt Mohd Nadzri Hussain, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Arau, Perlis, dengan memangku pangkat ACP.

Pengurus Keselamatan Kebombaan, Lembaga Pelabuhan Klang, ACP Mahamad Akhir Darus dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Trafik Pasukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.

Penguasa Polis (SUPT) Yap Toon Khuan, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang pula dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Perak dengan memangku pangkat ACP.

Penguasa Polis Seksyen Penyelidikan Dasar dan Peraturan, Urus Setia KP N(Penyelidikan dan Pembangunan), Bukit Aman, SUPT Siti Mariam Salikin pula dilantik sebagai Penolong Pengarah Perjawatan (pegawai diwartakan), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, dengan memangku pangkat ACP.
PDRM, Bukit Aman

Artikel Lain