suria

Presiden Gerakan Calon BN Paling Sesuai Tanding PRK Teluk Intan - Chang

Mah Siew Keong.

IPOH: Presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong merupakan calon paling sesuai untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, kata penasihat parti itu, Datuk Chang Ko Youn.

Beliau berkata, ini kerana Mah mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membawa pembangunan, sumbangan dan menabur khidmat kepada komuniti di Teluk Intan, sejak beberapa tahun lepas.

"Saya percaya beliau paling layak dan calon paling sesuai bagi pilihan raya kecil ini kerana pengundi Teluk Intan telah melihat prestasi, rekod perkhidmatan, personalitinya dan lebih penting beliau ialah anak tempatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Charity Food Fair' Rumah Orang Tua Kampung Simee di sini Ahad.

Bagaimanapun Chang berkata, senarai calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Parti Gerakan juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan mengenai calon yang paling sesuai dan berpotensi untuk mewakili BN, katanya.

Chang berkata, Gerakan sedang mempersiapkan untuk menghadapi PRK itu dan adalah 'malang dan terlalu cepat" kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Pastinya PRK yang akan datang ini akan menjadi perlawanan amat sukar memandangkan senario politik semasa tetapi Gerakan mempunyai rangkaian yang kuat, keahlian dan pasukan berdedikasi yang semuanya akan digerakkan untuk menghadapi PKR...kami mempunyai rekod prestasi yang baik, nama dan juga dikenali masyarakat.

Beliau berkata, senario pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak sama dengan keadaan semasa memandangkan pada tahun 2013, pengundi dipengaruhi khabar angin yang mencetuskan kemarahan seperti dakwaan kononnya berlaku kemasukan warga asing untuk mengundi.

"Pada ketika itu pembangkang juga dilihat mempunyai harapan untuk menjadi kerajaan. Kali ini saya berpendapat pengundi mahu menghargai sumbangan BN dan lebih baik mereka memilih calon BN yang boleh memberi perkhidmatan berkesan serta menjadi jambatan antara penduduk Teluk Intan dan kerajaan," katanya.

Mah pernah bertanding dan memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU-10 dan PRU-11 bagaimanapun tewas pada PRU-12 dan PRU-13.

PRK Parlimen Teluk Intan perlu diadakan ekoran wakil rakyatnya dari DAP Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Khamis lepas.

Pada PRU-13, Seah menewaskan Mah sebagai calon BN dan calon Bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Mendiang sebelum ini pernah menjadi anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar selama tiga penggal sejak tahun 1999.

Artikel Lain