suria

Kebebasan Akhbar Penting Untuk Masyarakat Madani Yang Vibran - D8

Seyed Ali Mohammad Mousavi. Foto farsnews.com

KUALA LUMPUR: Hari Kebebasan Akhbar Sedunia adalah penting untuk masyarakat madani yang vibran dan sistem yang berfungsi dengan sempurna, kata Setiausaha Agung Lapan Negara Membangun (D8), Dr Seyed Ali Mohammad Mousavi.

Beliau berkata, media menyumbang bahagian yang selari dan tidak boleh dipisahkan dalam setiap masyarakat bagi menghubungkan negara dan rakyat.

"Media terutama akhbar adalah penting dalam menegakkan amalan demokrasi dan urus tadbir yang baik menerusi ketelusan dalam kalangan institusi di dalam sebuah negara.

"Kebebasan media, oleh itu adalah penting bagi memastikan suara rakyat didengari," katanya dalam satu kenyataan.

Mengucapkan tahniah kepada media tempatan dan global sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diraikan pada Sabtu, beliau menekankan kepentingan pembinaan pendapat awam dan kesedaran dalam membantu membentuk institusi awam yang selari dengan kehendak popular.

Seyed Ali berkata, kebebasan selalunya ditujukan kepada media kerana tanggungjawab dan peranan pentingnya kepada masyarakat.

Sehubungan itu Sekretariat D8 menyertai masyarakat global dalam meraikan hari kebebasan akhbar.

D8 ditubuhkan pada 1997 dan beribu pejabat di Istanbul, Turki mewakili negara membangun yang kebanyakannya penduduk Islam yang membentuk pakatan pembangunan ekonomi.

Ia terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki yang bertujuan meningkatkan kedudukan negara anggota dalam ekonomi global dan menambah baik taraf kehidupan.

Artikel Lain